Wednesday 9 May 2012

Demam Peperiksaan Di Maahad Tahfiz Sains Kelantan



     Segala puji dipanjat kepada Allah SWT Tuhan Penguasa alam semesta. Buat julung-julung kalinya dapatlah kita bersua lagi dalam dunia maya ini. Pejam celik kita sudah berada dipertengahan tahun 2012. Segala pengalaman dan catatan perjalanan kita di bumi Yang Maha Esa mengajar erti sebenar kehidupan untuk ditempuhi bersama-sama.

     Menjengah ke seperdua tahun, kebiasaanya kebanyakan daripada kita akan berhadapan dengan satu peperangan di medan ilmu. Peperiksaan pertengahan tahun adalah platform bagi menguji sejauh mana pencapaian seseorang pelajar selepas hampir lima purnama menuntut ilmu bagi sesi persekolahan 2012.

     Bagi pelajar sekolah berorientasikan Al-Quran bersama dengan silibus pengajian Al-Azhar serta Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah(KBSM) seperti Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Maahad Tahfiz Sains Tumpat dan semua MTS yang lain, pelajar mereka diuji dengan bebanan pengajian hampir 25 mata pelajaran mencakupi segenap bidang pendidikan iaitu Tahfiz(Al-Quran), Diniah(Arab Agama) dan akademik. Jumlah mata pelajaran yang begitu banyak dan berbeza daripada hampir kesemua sekolah yang terdapat di Malaysia. Bebanan ini menuntut para musafir ilmu di bumi MTS melipatgandakan usaha mereka bagi menempa kejayaan dalam peperiksaan nisfu sanah kali ini. 

     Pengalaman telah membuktikan keberkatan dan kekuatan para huffaz ketika mereka menghadapi kebanyakan peperiksaan. Ramai dalam kalangan mereka yang kurang mengulang pelajaran tetapi masih mampu memahat kejayaan cemerlang disebabkan keberkatan dan keyakinan yang tinggi terhadap Yang Maha Agung.

Firman Allah SWT :

"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, Allah akan menolong kamu dan menetapkan tapak pendirianmu."

SURAH MUHAMMAD ayat 7

     Yakinlah wahai generasi Quranie',masa depan ummah terpikul kemas atas bahu masing-masing. Semoga bertemu lagi dalam coretan akan datang. Apa yang baik itu datang dari Allah, apa yang kurang juga datang dari Yang Khaliq tetapi disalurkan melalui hambanya yang lemah ini.

Selamat Menghadapi Peperiksaan Kepada Semua Warga MTS....Bittaufiq Wannajah


     

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...