MENGENAI KAMI

SEJARAH PENUBUHAN


Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) MTS Nurul Aman telah diwujudkan secara rasmi pada ahun 2008 seawal pembukaan Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman yang mula beroperasi pada 5 Januari 2008. Badan ini yang pada asalnya ditubuhkan atas nama Badan Dakwah dan Tarbiyyah Islamiyyah (BADATI) atas ininsiatif pihak sekolah yang pada awal penubuhannya adalah bagi menguruskan program usrah dan pengurusan musolla MTS Nurul Aman dan hal-hal berkaitan seperti jadual imam. Oleh kerana pada awal penubuhan ahli-ahli BADATI hanya terdiri dari pelajar-pelajar Tingkatan 1 Generasi Pertama MTS Nurul Aman, maka  Badan ini diuruskan sepenuhnya oleh guru-guru MTS Nurul Aman. Guru penasihat pertama ialah Ustaz Mirza Alauddin bin Razali dan Ustaz Mohd Nazri bin Shamsuddin.

Kemudian pada tahun 2009, Badan ini diletakkan di bawah Badan Disiplin MTS Nurul Aman. Guru penasihat pada ketika ini ialah Ustaz Azaruddin dan pengerusi pelajar yang pertama ialah Sdr. Izzat Muazzam bin Mustafa Kamal yang ketika itu merupakan Exco Dakwah Badan Disiplin MTS Nurul Aman, dibantu oleh Sdr. Mukhlis bin Mhd Arifine. Pada ketika ini, sebuah jawatankuasa BADATI telah ditubuhkan. Sebanyak 5 unit ditubuhkan untuk melancarkan program BADATI iaitu Lajnah Usrah dan Kepimpinan, Lajnah Solat dan Qiyamullail, Lajnah Imarah Surau, Lajnah Penerbitan, dan Lajnah Tugas-Tugas Khas dan Perhubungan Luar.

Pada tahun 2010, satu rombakan besar telah diadakan apabila BADATI secara rasminya diasingkan dari Badan Disiplin dan diiktiraf sebagai salah satu badan utama di MTS Nurul Aman. Guru penasihat pada tahun ini ialah Ustaz Aminruddin bin Kamaruzzaman dan saff kepimpinan BADATI diketuai oleh Sdr. Umar Hanis bin Ahmad Sukri Hamidi. Hampir kesemua jawatankuasa tahun lepas dikekalkan bagi meneruskan kembali aktiviti-aktiviti yang telah direncanakan pada tahun lepas. BADATI mula dilihat sebagai satu badan yang aktif di sekolah. Ia kini bukan sahaja hanya menguruskan usrah dan musolla, tetapi sudah mula menguruskan program-program bersifat tarbiyyah.

Pada tahun 2011, BADATI telah ditukar nama kepada Badan Dakwah dan Latihan Kepimpinan Islam (BALKIS). Jawatankuasa sedia ada telah dirombak bagi memberi nafas baru kepada Badan Dakwah dalam usaha mewujudkan suasana tarbiyyah dan dakwah di sekolah. Pengerusi baru BALKIS ialah Sdr. Ihsan Ilahi bin Mohd. Sabri. Pada tahun ini, usrah mula digerakkan secara menyeluruh dengan kewujudan sebuah badan yang diberi nama Tanzim Nuqaba'. Para-para naqib Usrah dari kalangan pelajar juga telah dipilih bagi menjadikan Usrah MTS Nurul Aman dimartabatkan. Beberapa program-program Tarbiyyah dan Dakwah juga telah diadakan.

Kini pada tahun 2012, BALKIS yang telah ditukar nama kepada Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) telah diberi nafas baru dengan pertukaran guru penasihat baru, Ustaz Wan Ahmad Ilmam bin Razali dan pengerusi pelajar baru yang merupakan bekas Ketua Pelajar MTS Nurul Aman 2011, Sdr. Abdul Mu'min bin Abdul Satar. Satu rombakan jawatankuasa besar-besaran telah dilakukan bgi memperkasakan bi'ah solehah dalam kalangan pelajar yang menjadi misi BADAR 2012. BADAR kini bukan hanya dilihat sebagai badan yang hanya bersifat tarbiyyah, tetapi juga bersifat haraki. 2 jawatankuasa baru telah ditubuhkan iaitu Lajnah Perkaderan dan Lajnah Ekonomi bagi memantapkan BADAR, manakala Lajnah Usrah dan Kepimpinan, Lajnah Solat, dan Lajnah Imarah Surau digabungkan menjadi satu lajnah besar iaitu Lajnah Pembangunan Insan. Berbagai program telah direncanakan bagi mencapai visi dan misi BADAR 2012. BADAR akan berkerjasama dengan 3 Badan Utama lain iaitu Badan Disiplin, Badan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), dan Badan Asrama dalam mewujudkan suasana bi'ah solehah di bumi Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman yang tercinta.

VISI
Melahirkan individu yang berkepimpinan dan berakhlak mulia serta dapat menyumbang kepada keluarga, masyarakat, dan negara.

MISI

  • Memperkasakan bi'ah solehah dalam kalangan pelajar
  • Memperkasakan sistem perkaderan melalui institusi usrah
  • Meningkatkan kefahaman Islam dalam kalangan pelajar melalui program-program yang tersusun
OBJEKTIF
  • Membina peribadi muslim yang mantap
  • Melaksanakan amar ma'ruf nahi mungkar
  • Melahirkan individu yang cakna tentang dunia Islam
MOTO
"TARBIYYAH ISLAMIYYAH MENJANA KHAIRA UMMAH"










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...